CLICK n GO

Sunday, December 26, 2010

Bravo Malaysia Menang 3-0


Bravo Malaysia kerana berjaya menewaskan Indonesia 3-0 malam ini. Kedudukan 0-0 pada separuh masa pertama. Gangguan pancaran laser hijau ke mata Markus penjaga gol Indonesia menyebabkan permainan di tangguhkan selama 5 minit pada separuh masa kedua. Selepas perlawanan di sambung Malaysia bejaya menyumbat gol.


Gol pertama hasil gerak baik Norshahrul Adlan yang merampas bola di garisan gol sebelum mengumpan kepada Mohd Safee yang merembat mudah untuk jaringan pertama. Jaringan kedua juga berpunca dari gerakan kemas Norshahrul Adlan dari garisan gol sebelah kanan mengumpan cantek ketengah untuk tendangan kaki kanan first timer oleh pemain gantian Mohamad Ashari gagal di selamatkan oleh Markus. Gol ketiga merupakan satu jaringan klasik hasil hantaran jauh pemain bek Mahalli dan di tanduk tajam oleh Mohd Safee ke penjuru kanan gol hanya mampu di pandang oleh Markus. Malaysia sepatutnya mendapat tendangan penalti di minit2 akhir apabila pemain sayap Kunanlan di jatuhkan oleh Markus di petak penalti.


Apa pun Bravo Malaysia kerana kejayaan ini. Harapnya Malaysia mampu bertahan di Jakarta nanti dan berjaya mencuri peluang pada counter attack. Indonesia terpaksa mencari jaringan 4-0 untuk menidakkan Malaysia sebagai JUARA AFF Suzuki Cup 2010. Sehingga itu saya di antara puluhan peminat yang menyaksikan siaran langsung di kedai mamak Salam Sentosa tadi bersama-sama puluhan ribu di Stadium Bukit Jalil dan jutaan peminat lain yang menyaksikan siaran langsung di RTM1 dan Astro merasa teruja sungguh dan harapnya 'feel good feeling' ini akan kekal selepas perlawanan timbal balik di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta pada 29 Dec ini.

@@@

Malaysia Juara !! Walaupun kalah 1-2 namun berjaya menang Final AFF Suzuki Cup ini dgn aggregate 4-2. Berjaya setelah menanti 14 tahun. First edition dulu kita jadi Runner-up. So ini pencapaian negara yg sangat membanggakan. Tahniah.

Sunday, December 19, 2010

Hadiah RM27 Juta

Hadiah RM27 Juta

S
emalam singgah kat R&R Jejantas Sg Buloh on the way ke Shah Alam kerana ada jemputan makan malam bersama sahabat saya Bakar sekeluarga.Alhamdulillah surau yang disediakan pihak PLUS di R&R ini sungguh luas, bersih dan selesa.

Di kala solat maghrib itu saya perhatikan tidak kurang dari 30 pengunjung sedang menunaikan ibadah solat fardu itu. Kesedaran umat Islam dalam menjalankan rukun Islam yang kedua itu patut disyukuri. Banyak peningkatan yang dapat di lihat kalau hendak dibandingkan dengan masyarakat pada zaman 60an sebagaimana yang selalu di dedahkan dalam filem2 evergreen P.Ramlee.

Mungkin dari satu segi betul pemerhatian itu. Tapi mungkin dari sudut yang lain generasi kini mungkin lagi teruk. Apa pun kita doakan semoga kebangkitan umat Islam menghayati agama mereka akan berterusan hingga ke akhir zaman.


Ada satu persoalan yang agak mengganggu minda saya bukan semalam saja malah sudah agak lama juga. Surau besar di R&R itu di penuhi puluhan orang. Tapi kebanyakannya solat bersendirian. Keadaan yang sama juga sering saya lihat di surau2 kat pusat2 membeli belah. Apakah manusia sudah lupa akan janji Allah perihal kelebihan solat secara berjemaah?

Betapa penting dan besar kedudukan solat fardhu lima waktu secara berjemaah di sisi Islam, sehinggakan ianya diberi kelebihan pahala dua puluh tujuh kali ganda bagi orang yang bersolat secara berjemaah daripada bersolat bersendirian, sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar ra bermaksud: “solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda pahala”


Marilah kita beramai-ramai menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah dimana sahaja kita berada, sama ada di pejabat, di pasaraya, di sekolah, taman rekreasi dan yang paling utama solat berjemaah ini dilakukan di masjid.


Solat berjemaah adalah lambang kekuatan dan keutuhan umat Islam serta cahaya keimanan mereka. Tanda kelemahan kesatuan umat Islam serta malap keimanan mereka adalah bilamana mereka meninggalkan solat secara berjemaah. Diantara perbezaan seorang muslim yang sejati dan munafik adalah pada solat mereka. Saya petik dari blog perihal solat untuk dikongsikan di sini.


Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 142:

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). Apabila mereka hendak berdiri sembahyang, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang sekali).


Apabila saya melihat umat Islam yang ramai di surau, namun masing2 solat bersendirian maka tidak nampak ada kesatuan di situ. Tidak nampak ada kekuatan saf yang utuh, tidak
nampak ukhwah umat bersatu mengikut imam dan ketua. Yang saya nampak kepentingan diri, haru biru, tidak ada kesamaan, tidak ada kekuatan. Masing2 dengan gaya dan pendirian masing2 walaupun mengadap Pencipta yang sama.


Persoala
annya kenapa kebanyakkan dari kalangan kita orang Islam memandang remeh hal solat berjamaah serta beranggapan ianya tidak penting ? Sedangkan lambang kesatuan dan kekuatan umat Islam terletak didalam satu barisan bermula dari solat berjamaah.


Firman Allah SWT dalam surah al-Shaff ayat 4 :

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.


Tanggapan bahawa solat berjemaah tidak penting adalah sangkaan yang salah dan bertentangan dengan perintah Allah SWT, sebagaimana firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 43 :


Maksudnya: dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang Yang rukuk.


Maksud suruhan rukuk bersama orang-orang yang rukuk dalam ayat di atas, ialah suruhan supaya solat-solat fardhu itu dilakukan secara berjamaah.


Dalam ayat lain menjelaskan bertapa dituntutnya solat berjemaah sekalipun pada masa peperangan kita dituntut melaksanakannya. Perkara ini boleh dilihat dalam surah an-Nisaa ayat 102 Firman Nya :


Maksudnya: dan apabila Engkau (Wahai Muhammad) berada Dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu Engkau mendirikan sembahyang Dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak Yang lain (yang kedua) Yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing.


Maksud dari ayat di atas dapat difahami bahawa Allah SWT menjelaskan kepada kita tuntutan dan cara melakukan solat fardhu berjamaah pada masa peperangan. Jika solat fardhu dalam masa peperangan dituntut supaya dilakukan secara berjamaah, maka tuntutan solat fardhu supaya dilakukan secara berjamaah dalam suasana aman damai adalah lebih dituntut dan diutamakan.



Justru apabila kita sudah menyedari hakikat tuntutan solat berjemaah maka marilah kita sama2 berazam untuk tidak lagi menunaikan secara solo, tetapi akan mendirikan solat secara berjemaah walau di mana pun
kita samada di ofis, di rumah, atau di perjalanan.


Dalam mengejar harta dunia kita sentiasa berkira berapa keuntungan yang akan peroleh. Kita sentiasa memilih sebuah perniagaan atau pelaburan yang memberikan pulangan berlipat kali ganda. Sekiranya kita berniaga nasi lemak bermodalkan RM100 setiap pagi dan mendapat pulangan 300% iaiatu keuntungan RM300 contohnya, maka kita rasa amat teruja dan rasa berbaloi untuk meneruskan usaha bisnes kita itu. Kita mencongak-congak kalau nett profit RM300 sehari maka sebulan 30xRM300
akan berjumlah RM9,000, mengalahkan gaji Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan atau Pengurus Besar sebuah syarikat swasta. Hebat bukan?


Sekiranya kita melabur dalam Bursa KL membeli satu lot syer dengan harga RM1,000 dan setelah menunggu sekian hari harganya melonjak menjadi RM27,000 maka sudah tentu kita rasa sangat beruntung pada pelaburan kita tadi. Betul tak?



Sekiranya ada seorang penderma ingin menderma kepada peminta derma. Antara RM1 dengan RM27 rasanya jumlah manakah yang dia inginkan kalau diberi pilihan. Seorang jutawan yang ingin menderma kepada sebuah institusi anak yatim bertanya kepada wazir institut tersebut, "Saya beri pilihan pada tuan memilih jumlah RM1 juta atau RM27 juta untuk saya b
erikan pada institusi anak2 yatim ini". Agak2nya apa pilihan wazir ini?


Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Ibaratnya selesai selesai solat fardhu secara bersendirian akan muncul seorang dermawan menghadiahkan kita RM100. Sekiranya kita solat fardhu secara berjemaah, dermawan tadi akan menghadiahkan kita RM2,700. Maka secara rasional dan akal waras kita tanyalah dengan ikhlas sejauh mana tahap kecerdikan dan pertimbangan kita dalam urusan ibadah ini?


Marilah mulai hari ini, kita penuhi surau2 di R&R PLUS dan Shopping2 Complex itu dengan saf-saf lurus di belakang imam untuk menunaikan solat fardhu kita, insyaAllah. Marilah kita solat berjemaah di musolla kat ofis kita itu. Kalau di rumah kita ajak anak2 dan isteri kita untuk solat di belakang kita. Dan yang lebih afdal pada setiap kesempatan kita solat berjemaah di masjid dan surau, insyaAllah.

Ganjaran hadiah RM1 juta atau RM27 juta??

Kita sekadar beribadah seikhlas hati dan Allah lah penderma dan pemberi ganjaran itu, insyaAllah.


@@@

Tuesday, December 14, 2010

Makan Ubat

Kalau sakit makan ubat. Kalau sakit jantung tapi makan ubat ghout tak kena la kan? Penyakit yang saya ingin bincangkan ialah mengenai definasi bangsa dan permasalahan berkaitan dengan kelebihan atau kekurangan sesuatu bangsa dalam negara ini.

Pada posting yang lepas saya ada menyatakan bahawa umat manusia ini asal usulnya dulu dari salasilah Adam & Hawa. Tiada istilah bangsa atau puak, sehinggalah pada zaman Nabi Nuh dengan bencana banjir besarnya, mengikut sejarah menjadi titik permulaan kepada kelompok2 manusia yang berkembang menjadi puak, bangsa, kaum, dsb. Ini membuatkan kita semua kat dunia ini bersaudara sebenarnya.


Segala penyakit ada ubatnya. Yang penting kita makan ubat yang betul dengan penyakitnya. Kalau kita konpius maka berjumpalah dengan pakarnya. Pakar yang paling pakar sudah tentulah Pencipta kita, Allah SWT.


Maka di sisi Pencipta manusia iaitu Allah SWT, tiada yang membezakan antara sesama manusia ini melainkan ketaqwaaan kepada-Nya. Saya rasa ini sudah jelas. Maka tidak timbul masalah bangsa tertentu lebih hebat dari bangsa yang lain. Sebagaimana anggapan bangsa Yahudi yang mengganggap bangsa mereka adalah yang terbaik dan bangsa-bangsa lain tidak setaraf dengan mereka. Janganlan kita juga terikut-ikut dengan karenah Yahudi laknatullah ini.


Saya sangat tertarik dengan penyataan TGNA dari katil hospitalnya bersangkutan dengan perkara ini yang saya paparkan semula di sini untuk rujukan kita. Mengikut pengamatan saya ada pengajaran dan manafaat yang boleh kita ambil untuk memahami penyakit yang ada dan membezakan antara penawar yang mujarab dan racun yang bisa.

Mungkin ada yang melihatnya sebagai persolan politik namun yang penting kita merasai isinya walaupun pahit. Bukankah ubat itu selalunya pahit? Yang pahit itulah penawar. Sebaliknya yang manis itu sebenar boleh menjadi racun yang merbahaya.



**********


Dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?


Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di Negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT?


Firman Allah SWT :لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُوا عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ


Yang bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al hikmah. dan Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali-Imran : 164)


Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam. Menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka.


Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu?


Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengenepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini.


Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh Ketuanan Melayu. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman. Hakikatnya, perjuangan Ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah).


Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada salah seorang pemimpin UMNO Kelantan yang mendoakan kesihatan saya agar terus dapat berjuang menentang UMNO. Semoga doanya dimakbulkan Allah, insya-allah Amin.Marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun.


Firman Allah SWT :وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُyang bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan dia lah yang Maha Mendenyar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-An’am, ayat 115)


Al-Quran ialah manual yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada Al-Quran.


Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT.


Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT :يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)


Yang bermaksud : Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah al-Hujurat, ayat 13)


Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam?


Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela.


Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui kerajaan negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala KDYMM Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua bangsa di Kelantan. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan.


Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan dendam dalam diam dan membakar di dalam senyap.Di sudut yang lain pula, Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu sehingga hari ini melahirkan generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di’kebumikan’ secara terhormat oleh Ketuanan Melayu.


Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis.


Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju samada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia.


Justeru, kita diperintahkan mengulang-ngulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat :مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِYang bermaksud : Yang menguasai di hari Pembalasan.


Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Wad 2
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
Kubang Kerian
6 Muharram 1432H / 13 Disember 201M


**********


Dalam kita teraba-raba meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini yang menjadi pertaruhan dan medan perniagaan untuk pulangan di akhirat nanti, maka elok benarlah kita kembali kepada sumber yang asal iaitu panduan dan arahan dari Pencipta manusia iaitu Allah SWT.


Dia telah membekalkan kita dengan manual lengkap iaitu Al-Qur'an dan tafsiran dan huraian oleh Sunnah Rasulullah SAW yang disampaikan pula oleh para daei dan tabiin untuk kita pelajari, fahami dan amali.


Maka kembalilah kepada penawar yang sebenar bukan kepada ubat yang palsu yang bisa menjadi racun dalam daging. Nawaitu kerana Allah. Insyallah 24 jam kita tidak sia-sia berlalu, malah menjadi amal ibadah kepada Allah SWT semuanya. Amiin.


@@@@

Monday, December 06, 2010

Apa Azam Tahun Baru?


Selepas bercuti hari Maal Hijrah semalam, saya bekerja macam biasa hari ini. Banyak tugasan yang menanti. Hari yang agak pack. Hanya berjaya sampai ke rumah sekitar pukul 9:00 malam.


Selepas makan malam, bersantai seketika di depan PC ini membaca beberapa posting terbaru termasuklah posting isteri tercinta di blog Pandangan Kasih. Saranan untuk menghafal surah2 dari Juz Amaa iaitu juzuk ke-30 Al-Qur'an adalah sebuah tawaran yang sangat menarik dan tidak elok ditolak bak kata orang bangla, "an offer that you should not resist".

Apa tidaknya kalau seorang remaja boleh khatam hafazan keseluruhan 30 juzuk surah2 dalam Al-Qur'an hingga bisa bergelar al-Hafiz, kenapa tidak kita yang sudah hidup lebih 40 tahun ini berusaha pula sekurang-kurangnya untuk menghafal kalau tidak 30 juzuk pun, kita berjaya menghafal juzuk 30. Bukankah itu tawaran yang sangat menarik?

Mungkin boleh bergelar 'al-Hafiz Juz Amma'. Gelaran tidak penting. Yang penting kita sama2 tanam niat di hati untuk berusaha sungguh2 di tahun baru ini, tahun 1432H ini untuk menghafal surah2 pada Juz Amma secara latih tubi. Nak seribu daya, insyaAllah.

Sebagai pemberi semangat, pada hari pertama tahun baru Hijriah ini Alhamdulillah saya telah berjaya menghafal Surah at-Tin. If you really focus, you can do it. Nothing is impossible. Just do it.

Bergerak selangkah lagi, kita tengok2 dan faham2 kan terjemahannya pula. Sungguh hebat. Makna yang penuh hikmah. Itu kalam Allah untuk kita, hamba-Nya. Sebagai pemandu, penunjuk arah supaya kita tidak sesat menempuh hidup di dunia menuju destinasi akhirat. Manual lengkap dari Allah Pencipta kita.

Saya perhatikan makna bait2 dari surah at-Tin ini, 8 ayat yang penuh misteri, penuh erti untuk di fikir.

  1. Demi buah Tiin dan Zaitun,
  2. Dan Gunung Tursina,
  3. Serta negeri (Makkah) yang aman ini,
  4. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
  5. Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,
  6. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
  7. (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu?
  8. Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?

Di ofis tadi kawan saya Syed Shah ada bertanya, apa azam tahun baru? Saya pun menjawab, banyakkan manafaat kurangkan mudharat. Ya, itulah azam tahun baru saya. Dan antaranya ialah untuk menghafal dan memahami surah2 dari Juz Amaa, insyaAllah.


Melangkaui sempadan global untuk manafaat bersama dalam semangat Maal Hijrah ini saya selitkan petikan perutusan Maal Hijrah TGNA:

***


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

  1. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui, (yaitu) orang-orang yang sabar dan Hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal..” – Surah an-Nahl, ayat 41-42
  2. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya ini dan berada di ambang tahun baru 1432 H pada hari ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.
  3. Memperingati peristiwa hijrah bukanlah satu kegiatan yang diada-adakan tanpa asas. Sambutan ini yang dibuat untuk memperingati peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebenarnya telah diperintahkan oleh al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua. Justeru, memperingati peristiwa hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Allah SWT di muka bumi ini.
  4. Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.
  5. Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam yang sebenar, politik yang turut mengambil kira soal dosa dan pahala di dalam gerak kerja. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.
  6. Insya-allah, kita yakin jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan masyarakat.


Sekian.

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM – KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 28 Zulhijjah 1431H / 5 Disember 2010M


***

Alhamdulillah kerana nikmat iman dan amal. Nikmat kehidupan ini. Nikmat sedutan dan hembusan udara, tegukan air dan kunyahan makanan. Banyak nikmat Allah untuk kita. Sihat tubuh badan, sempurna pancaindera. Nikmat Ilmu dan akal. Nikmat keluarga dan alam sekitar.

Biasakanlah dengan ungkapan Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah, pemilik segala nikmat itu. Semoga tahun baru Hijriah ini membawa beribu sinar untuk menyuloh cahaya kebenaran.
Marilah jadi manusia baik. Suka kepada kebajikan dan benci pada maksiat.

I'm not afraid to be alone, if Allah on my side.


@@@

Friday, December 03, 2010

Hakikat Syahadah

Semalam saya berpeluang mengikuti kuliah zohor di surau pejabat yang disampaikan oleh Ustaz Hj Shaharom dengan kupasan pada tajuk “Syarat-Syarat Penerimaan Syahadah”. Sempena hari ini hari Jumaat penghulu segala hari maka elok juga saya kongsikan di sini agar ilmu itu berkembang.

Apabila seseorang itu telah melafazkan kalimah syahadah, maka ia sebenarnya tidak terhenti dengan pengucapan itu semata-mata atau dengan kata lain ia tidak semestinya diterima Allah buat selama-lamanya. Sebelum pengucapan, persaksian dan pengakuan diterima, ia memerlukan syarat-syarat agar ikrar syahadah itu di terima di sisi Allah SWT.

As-Syeikh al-Ustaz Muhammad Said al-Qahtainy telah menyebutkan bahawa mesti ada 7 syarat untuk melayakkan syahadah kita diterima di sisi Allah:

  1. Mengetahui (al-Ilmu) – Iaitu mengetahui makna dan maksud yang terkandung di dalam kalimah syahadah tersebut. Melalui ilmu yang kita miliki akan membangkitkan keimanan dan ketundukan kepada segala perintah Allah dan memungkinkan kita untuk terhindar dari kekeliruan, kesilapan dan keraguan. Ilmu juga akan memimpin seseorang untuk terus beramal di atas jalan yang benar.
  2. Keyakinan (al-Yakin) – Seseorang yang telah berikrar mestilah meyakini akan kandungan syahadahnya dengan keyakinan yang kuat dan padu. Melalui keyakinan itu maka terhindarlah sebarang bentuk keraguan dan akan membawanya melangkah dengan penuh kepastian. Imam al-Qurtubiy menyatakan dalam kitabnya Al-Mufhim ‘ala Shahihil Muslim, “Tidak memadai seseorang itu melafazkan syahaadatain, akan tetapi mestilah dengan keyakinan hati…”
  3. Penerimaan (al-Qabul) – Syahadah bukan merupakan tutur kata biasa, akan tetapi ia merupakan pernyataan sumpah atau ikrar sekaligus sebagai satu janji. Oleh yang demikian, jika kalimah syahadah ini tidak diiringi dengan penerimaan secara total atas semua kandungan yang terkandung dalam lafaz syahadah tersebut, maka sudah tentu syahadah tersebut tidak boleh dikira sebagai syahadah yang benar. Seseorang itu mesti menerima kandungan syahadah itu dengan lidah dan hatinya. Kalau tidak, kita dianggap sebagai golongan munafiq yang hanya menerima pada pengucapan lidah, tetapi hati masih tidak bersedia menerimanya.
  4. Ketundukan (al-Inqiyad) – Ikrar syahadah seterusnya mestilah diiringi dengan sikap tunduk menerima terhadap kandungan maknanya dan tidak mengabaikan perlaksanaan kalimah tersebut. Sikap membantah dan tidak mahu tunduk terhadap ketentuan Allah dan Rasul-Nya, menjadikan ikrar tersebut tidak bermakna. Sesungguhnya Islam itu sendiri memberi erti ketundukan dan kepasrahan. Seseorang yang memeluk Islam dimestikan untuk memiliki sifat tunduk dan patuh secara total kepada segala peraturan, undang-undang dan hukum hakam yang telah diputuskan oleh Allah SWT.
  5. Kejujuran (as-Sidqu) – Setiap orang yang bersyahadah mestilah melakukannya dengan penuh kejujuran, tidak berpura-pura, kepalsuan atau berdusta. Semestinya ucapan lisan sejajar dengan hati dan pemikiran dan dibuktikan dengan amal perbauatan atau tindakan. Allah amat mengetahui setiap hamba-Nya yang benar dan jujur dalam keimanan mahupun yang berdusta.
  6. Ikhlas (al-Ikhlas) – Syahadah yang diucapkan mestilah dilakukan dengan penuh keikhlasan. Amal yang diperakui ikhlas adalah apabila amal yang dikerjakan hanya dalam rangka untuk mendapatkan redha Allah SWT. Tidak untuk mendapatkan redha sesiapa pun di antara makhluk-makhluk-Nya. Kata lawan kepada ikhlas ialah riyak iaitu beramal dengan tujuan mendapatkan sanjungan, pujian, penerimaan selain Allah. Penyakit riyak adalah ibarat virus yang merbahaya. Jika ia tidak segera dibenteras, maka ia akan mendatangkan penyakit syirik iaitu menjadikan sesuatu selain Allah sama kedudukannya dengan Allah SWT.
  7. Cinta (al-Hub) – Syahadah menuntut pertanggungjawaban dan sanggup menanggung risiko. Umumnya, pertanggungjawaban dan risiko syahadah sememangnya berat dan tidak ada yang sanggup menanggungnya kecuali mereka yang telah memilik hati yang dipenuhi perasaan cinta. Cinta hanya lahir daripada kerelaan dan keredhaan yang menjadikan syahadah diucapkan dengan kesungguhan dan dengan hati yang sedar. Setiap orang yang bersyahadah mesti mencintai akan kalimah-kalimahnya menyintai segala yang menjadi tanggungjawab yang mesti dilaksanakannya, sekaligus menyintai orang-orang yang sama-sama berusaha menyempurnakan syarat-syaratnya. Orang yang telah bersyahadah mestilah menyintai Allah mengatasi segala-galanya dan menyintai segala sesuatu dalam rangka menyintai Allah SWT.

Demikianlah 7 syarat untuk melayakkan syahadah kita diterima di sisi Allah setelah kita berusaha memenuhi tuntutan-tuntutannya. Syahadah yang benar bukan sahaja mendapat penerimaan daripada Allah SWT, malah akan menimbulkan perasaan redha pada apa jua yang ditetapkannya seperti panduan, hukum, peraturan dan syariat. Keredhaan ini menjadi titik mula untuk kita menerima semua ajaran Islam dan menerusinya juga kita bersedia menanggung apa jua bebanan syariat dengan penuh ketulusan dan bersedia untuk memperjuangkan agama Islam yang kita anuti.

Cukuplah kita ini menjadi muslim kerana keturunan. Menganut Islam kerana ibubapa kita Islam. Sudah tiba masanya kita faham apa hakikat sebenar pengucapan kalimah Syahadah yang merupakan Rukun Islam nombor wahid. Bangunlah dari tidur kita yang panjang. Sedarlah siapa kita dan apa tujuan hidup kita ini. Jangan pandang belakang. Ayuh perjalanan masih panjang menuju destinasi mencapai redha Illahi. Terus mara !!

@@@

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...