CLICK n GO

Tuesday, March 30, 2010

Tinggalkan Yang Merugikan

Kunjungan kami ke Masjid ialah untuk mengikuti kuliah maghrib, setelah menghantar anak ke kelas tusyen di sekolahnya. Namun malam ini ustaz jemputan tidak dapat hadir maka slot itu kosong tidak terisi. Setelah mendirikan solat sunat saya habiskan masa dengan zikrullah.

Nota-nota lama majlis ilmu sebelum ini saya tengok sekali lalu dengan membelek-belek buku nota yang selalu dibawa bila ke masjid ini. Terpandang nota bertarikh 8 Mac iaitu majlis ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Zahidi pada kitab 'Penawar Bagi Hati' yang rasanya sesuai untuk dikongsi di sini. Ilmu, amal dan ibadah kita semuanya dari Allah. Maka sentiasa lahirkan terima kasih pada Allah. Sesiapa yang berterima kasih kepada Allah maka senanglah berterima kasih sesama manusia. Sesiapa yang tawaduk, Allah muliakan dia. Sesiapa yang takabur maka Allah akan hinakan dia. Semua yang kita ada ini milik Allah semuanya.
Tinggalkan yang merugikan:-
  1. Tinggalkan pandangan liar akan dapat tekun dan khusyuk.
  2. Tinggalkan bercakap banyak akan dapat hikmah dan bijaksana.
  3. Tinggalkan makan banyak akan dapat sihat dan rajin beribadah.
  4. Tinggalkan melihat aib orang akan dapat melihat aib diri.
  5. Tinggalkan memikirkan zat Allah akan lepas dari keraguan dan munafik.
  6. Tinggalkan banyak tidur akan terlepas dari papa.
  7. Tinggalkan makan haram akan hidup hati dan kabul doa.
  8. Tinggalkan makan syubahat akan jernih hati dan kuat agama.
  9. Tinggalkan maksiat akan dapat terang hati dan manis ibadah.
  10. Tinggalkan cinta dunia akan dapat mencintai Allah.
  11. Tinggalkan riak, ujub dan takabur akan terlepas dari syirik halus dan diterima ibadah.
  12. Tinggalkan da'wi akan dapat tawadduk. (**makna da'wi?)
Bersih nafsu dengan zikrullah. Bila hati bersih hadirlah makrifat dan takut pada Allah. InsyaAllah sama-samalah kita terus menyimbah hati dengan penawar bagi menyembuh segala penyakitnya. Amiin.

@@@

Saturday, March 27, 2010

Buku Bermutu Beli Di Pesta Buku

Pada kunjungan pertama ke PBAKL 2010 minggu lepas, isteri saya telah membeli dua buah buku yang istimewa dan sangat bermutu iaitu:

  1. Karya Abd Basit Abd Rahman berjodol Makkah al-Mukarammah Kelebihan & Sejarah setebal 228 m/s dengan harga RM27 (harga asal RM30).
  2. Indahnya Hidup Bersyariat karya Dato'Ismail Kamus setebal 308 m/s dengan harga RM48 (harga asal RM55).
Dr. Abdul Basit bin Hj Abdul Rahman lulusan PhD Syariah dari Universiti Islam Madinah adalah Musyrif Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian, sebuah instutusi pengajian gabungan antara sistem pondok (halaqat) & sekolah (kelas). Bapa beliau Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman rahimahullah (1923-1988) adalah pengasas Pondok Sg Durian ini.

InsyaAllah buku ini memberi pemahaman dalam bahasa yang mudah di fahami tentang sejarah Tanah Suci dan falsafah haji dan penyebaran agama Islam. Pembaca buku ini boleh mendapat keinsafan bahawa Tanah Suci perlu dijaga dan dihayati oleh setiap umat Islam. Allah menjadikan hati-hati manusia merinduinya dan mewajibkan ke atas hamba-hamba-Nya yang mampu agar mengunjunginnya dengan dijadikan pahala yang berganda, juga memberi amaran daripada melakukan kejahatan ketika berda di dalamnya.

Buku Indahnya Hidup Bersyariat karangan Al-Ustaz Dato' Hj Ismail Kamus pula seharusnya menjadi kewajipan untuk dimiliki pada setiap rumah, pusat sumber, sekolah dan individu kerana ia merupakan buku panduan fardu ain yang lengkap bergambar untuk rujukan, pemahaman dan amalan kita semua.

Teknik penyampaian buku ini ringkas dan tepat dalam bentuk carta, jadual dan rajah. Semua doa, bacaan dan zikir boleh dibaca dan dihafal dengan mudah. Langkah amalan disampaikan mengikut turutan yang jelas. Media fotografi warna dan kualiti kertas yang baik menyerlahkan kehebatan buku ini. Highly recommended.

@@@

Friday, March 19, 2010

PBAKL 2010


Pesta Buku Antarabangsa 2010 bermula hari ini di PWTC, beramai-ramai la ke sana ye. Suasana pesta agak bising dan crowded, tapi happening. Pesta ilmu la katakan. Tapi ada jugak lambakan, buku2 yang tak laku depa nak perabis stok. Kalau nak cari koleksi majalah pun bagus sebab dapat beli jilid2 lama dengan harga murah. Kalau setakat majalah Gila2 tu RM1 je senaskah. Saya target majalah Solusi, nak lengkapkan 17 siri.

Buku2 kerja dan rujukan untuk UPSR/PMR/SPM/STPM memang tak menang tangan memilih. Remaja biasa le novel2 memang jadi tumpuan, apatah lagi bila dapat autograph dari penulis atau artis2 jemputan. Cuma yang saya tak gemar booth2 untuk program pendidikan anak2 yang ramai ejen2 dok berkeliaran tarik kita suruh masuk booth depa, eee rimas. Satu lagi yang popular booth yang ada pelukis dan kartunis yang melukis secara live. Free gift pun banyak. Jadi try to get the best deal. Survey dulu sebelum beli apa2.

Memandangkan banyak booth dan kawasan pameran yang kena cover maka stamina kena kuat la kan, peruntukkan juga masa yg sesuai sekurang-kurangnya lebih 5 jam. Kalau setakat nak pi sejam je, baik dok umah je lah. Dan kenalah budget apa yg nak dibeli. Mood kena baik. Kalau asyik masam muka dan bertegang lidah je baik pi tempat lain. Satu lagi tip ialah buat perancangan supaya dapat melawat semua lorong pameran. Praktikal kalau berpecah dan janji jumpa balik pukul sekian2 dan eloknya semua ahli kelurga bawak handphone masing2. Maklumlah masing2 ada minat buku2 yang berlainan. Ok jumpa di sana ye !!

Monday, March 15, 2010

Sampaikan Walaupun Satu Ayat

Alhamdulillah, hari ini gembira rasa hati kerana buat julong2 kalinya saya menerima kiriman hadiah di angin lalu (via Pos Malaysia) dari seorang rakan blogger iaitu Bro Achutra pemilik kedai buku online Stormreaders.

Petang tadi isteri saya sedang menuai hasil tanaman iaitu 'buah kedondong' untuk dibuat jeruk. "Pa, ada parcel", jerit isteri yang menjenguk ke dalam peti surat. Memang tepat, hadiah kiriman dari Achutra, sebuah Majalah Solusi idaman hati. TQ sir.


"Sampaikan Olehmu Daripadaku Walau Sepotong Ayat", itulah tagline Stormreaders bersempena dengan satu maksud hadis Rasulullah SAW. Rasanya Majalah Solusi yang penuh manafaat dan ilmu ini memenuhi tagline ini. Perkongsian yang p
enuh manafaat. Terima kasih sekali lagi buat Bro Achutra.

Saya teringat jiran saya iaitu Hj Munir yang aktif dalam jemaah Tabligh semenjak di bangku sekolah lagi, katanya "elok lah kita memberikan hadiah dalam bentuk buku/majalah kerana banyak ilmu yang terkandung di dalamnya menggantikan wang ringgit atau barang2 material yang lain".

Memang benar kerana ilmu yang bermanafaat itu sekiranya dapat kita kongsi dan sampai2kan kepada orang lain boleh mendatangkan kebaikan. Kalau di sana ada 20 ilmu dan sekiranya 1 daripadanya melekat dan di amalkan oleh kawan atau saudara kita tadi maka kita juga akan mendapat saham kebaikan itu, insyaAllah. Ilmu yang bermanafaat adalah satu dari tiga lubuk emas yang boleh memberi pulangan kepada kita di alam barzakh nanti (disamping doa anak soleh & amal jariah).

Sebagai seorang muslim kita tidak terlepas dari tanggung-jawab untuk berdakwah dan menyampai risalah kebenaran. Sering kali kita merasa bahawa kita ini cetek ilmu atau tidak ada ilmu yang mencukupi di dada untuk mengajak manusia ke arah kebaikan atau berdakwah kepada mereka, namun hadis diatas menyangkal semua itu. Kita tidak perlu tunggu nak jadi ustaz dulu baru bersedia menjadi seorang Da'ei atau pendakwah.

Ilmu yang kita tahu atau pelajari walau pun sedikit hendaklah kita kongsikan dengan yang lain. Ilmu yang hanya tersimpan di dada akan hanya memberi manafaat kepada diri sendiri jika diamalkan, tapi jika kita kongsikan dengan kawan2 atau ahli keluarga misalnya dan menjadi amalan mereka maka manafaatnya akan berlipat kali ganda dan berterusan selagi mana di amalkan melangkaui kehidupan dunia malah memberi kebaikan kepada kita hingga ke Akhirat, Amiiin.


Ciri2 ilmu itu sendiri apabila kita belajar dan mengajarnya pula, maka akan lebih mudah kita memahami, menghayati dan merasa kemanisannya. Berbanding dengan ilmu yang di pelajari tapi tidak di ajarkan kepada yang lain, ia akan berkurangan dan kita akan lupa secara beransur-ansur. Maka benarlah maksud hadis Rasulullah itu, "Sampaikan olehmu daripadaku walau sepotong ayat".


@@@

Thursday, March 11, 2010

Raikan Kejayaan

Alhamdulillah anakanda telah mendapat keputusan 8A & 3B dalam peperiksaan SPM yang baru diumumkan keputusannya hari ini. Tahniah anakku !!

  1. Bahasa Melayu: A+
  2. Bahasa Inggeris: A
  3. Sejarah: A
  4. Mathematics: A
  5. Science: A
  6. Bahasa Arab Tinggi: B+
  7. Additional Mathematics: A-
  8. Prinsip Perakaunan: B+
  9. Ekonomi Asas: A
  10. Pendidikan Al-Qur'an dan Al-Sunnah: B+
  11. Pendidikan Syari'ah Islamiah: A-

Suka duka, airmata dan senyuman memenuhi suasana di rata2 sekolah seluruh negara. Pada tahun ini menyaksikan 465,853 calon menduduki SPM dengan 7,987 mendapat straight A dan 199,155 pelajar lulus semua subjek.

Kekecewaan anakanda pada PMR dengan hanya mendapat 4A berbanding target 10A tertebus jua kali ini dengan keputusan 8A dalam SPM, Alhamdulillah. Keputusan ini juga menunjukkan usaha kakak yang tanpa jemu dan membuktikan bahawa walaupun tidak menuntut di SBP dan tanpa tusyen, kejayaan manis masih boleh di raih. Its all in the mind dan sikap dan usaha yg terbaik adalah perencah utamanya.

Namun perjalanan masih panjang. Dan hari ini adalah permulaannya. Antara yang di utarakan oleh ustazah di sekolahnya tadi ialah peluang ke Timur Tengah iaitu samada Jordan, Mesir atau Morocco dalam bidang Syariah, Usuluddin, Pengajian Islam, atau Bahasa Arab tajaan JAIS. Juga permohonan biasiswa JPA & Bank Negara untuk kursus Perakaunan di Australia, Jordan, dan New Zealand.


Pada permohonan UPU secara online tempoh hari, anakanda menyenaraikan Asasi Undang2, Asasi Ekonomi & Sains Pengurusan, dan Asasi Bahasa Inggeris di UIA sebagai antara pilihan utama. Pilihan lain termasuklah Tahmidi Syariah dan Undang2, Tahmidi Perakaunan dan Muamalat di USIM dan Asasi Syariah di UM.

Apa pun papa dan mama doakan anakanda membuat pilihan yang terbaik, istiqamah dan fokus. InsyaAllah kejayaan akan terus mengiringi segala usaha gigih. Semoga perjalanan ini penuh pengalaman bermakna untuk sebuah erti kehidupan dalam jihad menuntut ilmu. Semoga menjadi insan tegar penuh hemah dan jatidiri dengan akhlak terpuji, akidah mantap disertai amal soleh. Selamat menempuh perjalanan ini anakandaku.

@@@

Saturday, March 06, 2010

CCTV Allah


Kalau tak silap saya dua bulan lepas ada di iklankan di TV9 tajuk perbincangan dalam siri Halaqah iaitu perihal segala perlakuan kita di rekod oleh CCTV (Close Circuit Television). CCTV ini akan memapar kejadian di sesuatu lokasi liputan dan dipancarkan ke monitor atau skrin bagi di perhatikan oleh pihak keselamatan. Rakaman juga boleh di simpan ke dalam DVD atau tape untuk sesuatu jangkamasa. Ia boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah. Kita memang selalu nampak CCTV di pasang di pasaraya, jalan2 utama, sekolah, tempat2 awam dan kawasan2 sensitif dari segi keselamatan.

CCTV yang selalunya di pasang pada tempat2 strategik itu ada kelemahannya yang tersendiri. Dapat teka apa kelemahannya? Ia tertakluk kepada liputan tertentu dan tidak merekod aktiviti pada semua tempat, betul tak? Simpanan bahan rekodingnya juga mempunyai jangka hayat tertentu. Selalunya liputan secara langsung CCTV itu akan di monitor oleh pihak keselamatan, namun jika terlepas pandang maka terlepas lah pemerhatian secara fisikal itu. Itulah sifatnya CCTV ciptaan manusia.

Namun kita ini sebenarnya di bawah CCTV Allah. CCTV Allah amat canggih sehingga meliputi setiap ruang kehidupan manusia, termasuklah yang nampak secara fisikal, yang berlaku pada semua lokasi tiada yang akan terlepas pandang, di balik tembok, dalam gelap, dalam laut, hutan rimba, atau di angkasa raya. Lebih dari itu ia juga menembusi jasad hingga apa yang kita rancang dalam minda dan apa yang terniat dalam hati juga turut di rakam oleh CCTV Allah ini. Wow hebat !!

Kita ini 24x7 di bawah CCTV Allah. Hendak sembunyi di mana? Semua di rekodkan. Yang hebat nya apa yg terlintas atau tersirat di hati pun dapat juga di rekod oleh CCTV ini.

Di sini kita kongsikan sebuah kisah yang di petik dari blog Masjid BS ini. Pen
uh hikmah kisahnya. Marilah kita sama2 mengambil pengajarannya buat pedoman kita dalam perjalan kita menuju destinasi Akhirat.

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata,
  1. "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
  2. "Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?" "Ya! Anda benar." kata lelaki itu.
  3. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
  4. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?" "Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
  5. "Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya." Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku akan bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.

Kesimpulannya kalau kita faham hakikat kehidupan kita ini, ianya sentiasa
di bawah pengawasan Allah. Kejahatan dan dosa yang sebesar debu pun tidak akan terlepas dari rakaman CCTV Allah. Begitulah kebaikan dan pahala walau sekecil biji sawi pun akan Allah rakamkan. Maka benarlah Allah itu Maha Adil. Kita tidak boleh menipu Allah. Jika kita membuat sesuatu yang berlawanan dengan syariat dan suruhan Allah dan menganggap tiada orang lain mengetahuinya, maka kita sebenarnya silap kerana CCTV tadi tetap merekodkan perbuatan di sebalik tabir itu. Rekoding nya sepanjang hayat . Ia akan dipaparkan sebagai bahan bukti di hari pembalasan di Padang Mahsyar nanti.

Maka akhirnya siapa sebenarnya ingin kita tipu? Kita menipu diri sendiri saja. Dan kitalah orang bodoh yang di tipu itu. Allah tetap akan membalas segala perbuatan kita di dunia dengan adil. Setiap kali terlintas hati untuk melakukan maksiat maka ingatlah CCTV Allah di atas sana melihat dan merekodkan segala-galanya. Buatlah perkara yang baik-baik saja, insyaAllah selamatlah kita di dunia hingglah destinasi akhir kita di Akhirat nanti.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...