CLICK n GO

Thursday, February 26, 2009

Titik Hitam

Ada seorang engineer di ofis saya yang masih muda dan bagus budaknya, kuat bekerja dan agak agresif. Namun tabiatnya suka membebel, itu tak kena ini tak kena. Mengutuk orang itu dan orang ini. Ada saja yang tidak puas dihati. Hari ini dia ada berkunjung ke meja saya untuk meminta simpati berkenaan satu tugasan yang diberikan padanya perihal sebuah tender yang katanya agak tidak sepatut diberi kepadanya at the last minute. Maka saya pun mengambil sekeping kertas puteh bersaiz A4. Saya lorekkan sebuah titik hitam di atasnya dengan sebatang pensel. Selesai perlakuan saya itu saya pun bertanya kepadanya "apa yang kau nampak?". Katanya "satu titik hitam".

Ya betul. Kita nampak sebuah titik hitam. Kita fokus kepada titik hitam. Minda kita telah disempitkan skopnya kepada sebuah titik hitam itu. Itulah yang kita huraikan, yang akan kita bincangkan, yang jadi topik perbualan samada di kantin atau di dalam kereta. Sebuah titik hitam.

Kita galak berbincang tentang masalah, tentang isu, tentang gaji tak cukup, tentang ketidakpuasan hati naluri. Betul tak? Perkara2 negetif. Itulah sebenarnya titik hitam tadi. Ia sangat kecil saiznya tetapi telah mengambil masa dan perhatian yang banyak.

Cerekarama dan drama2 bersiri di TV juga memfokuskan kepada titik hitam. Tajuk2 utama akhbar dan majalah juga mempromosikan titik hitam itu. Elemen2 negetif dalam masyarakat yang di tonjolkan hampir setiap masa. Mendidik masyarakat kepada perkara yang tidak baik. Masyarakat jadi lembik dan tidak bermaya, malah rosak dan kelam kabut. Entah apa yang dikejar. Tak gheti lagi nak berfikir secara konstruktif. Sentiasa mencari kelemahan tanpa mahu menonjolkan kelebihan seseorang atau keadaan.

"Mat Sarip" kata saya, "Anggaplah assigment ini sebagai satu lagi peluang untuk kau belajar tentang urusan membuat tender, berurusan dengan rakan2 berlainan bahagian, berkomunikasi dengan business partners meminta sebut-harga dan tawar menawar, memahami users requirement, memahami spesifikasi produk, menulis proposal, mengajar soal pengurusan masa dan bekerja under pressure". "Bukankah sudah banyak pengalaman yang kau dapat sepanjang setahun setengah berada di sini? Bukankah itu telah menambah nilai skil dan pengalaman yang bisa membantumu melangkah lebih jauh di alam kerjaya?", panjang syarahan saya. "Bandingkan dirimu kini dengan dirimu semasa baru habis grad dulu". Looks for positive value in life my friend. Bijakpandai cina ada berkata there is opportunity in every problem. And I believe its true. Mat Sarip senyum senyum kambing di sebalik misai kucingnya.

Kertas A4 itu puteh bersih warnanya. Itu yang sepatutnya kita sedari. Itulah hakikat kehidupan ini. Puteh. Terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Nikmat tubuh badan dan pancaindera, kesihatan, ilmu pengetahuan, akal fikiran, alam sekeliling, harta benda, ahli keluarga dan masyarakat. Nikmat Islam dan Iman. Kalau kita gaji kecik fikirkan lah saudara kita yang bekerja sebagai penarik beca atau buruh kasar. Besar manakah gajinya? Kalau kita banyak masalah, bandingkan masalah kita dengan saudara kita di Myanmar, Kemboja dan Indonesia. Kalau kita rasa tidak lagi aman dan damai, bayangkan sengsara saudara kita di bumi Iraq dan Gaza.

Kalau kita tidak puas hati dengan kerja dan jawatan kita sekarang, ingatlah bahawa sudah ramai yang hilang pekerjaan mereka angkara kemelesetan ekonomi yang kini melanda. Mereka juga punya anak bini yang terpaksa ditanggung. Mengapa kita mahu ambil peduli sangat kepada titik hitam gurisan mata pensel itu? Sedangkan kertas bersaiz A4 kehidupan itu begitu luhur dan tulus sifatnya. Puteh bersih untuk kita nikmati bersama. Marilah menuju redha Allah dan belajar mensyukuri nikmatNya. Amiiin.

@@@

Saturday, February 21, 2009

Mesyuarat Agung PIBG


Pagi tadi setelah menghantar anak kami Iman Asilah ke sekolahnya untuk pertandingan berpantun, saya dan isteri pun meneruskan misi ke SAMT KKB untuk menghadiri Mesyuarat Agong PIBG kali ke 19. Sebenarnya ini adalah kali kedua saya menghadiri mesyuarat agong PIBG di SAMT KKB. Kali pertama semasa anak sulong saya Amir Asyraf di Tingkatan 1, iaitu pada tahun 2003. Masih ingat lagi, perasminya ialah ADUN Batang Kali iaitu Dato' Zainal Sukom yang mengambil peluang mempromosikan konsep Islam Hadhari pada pagi itu.

Kini Amir sedang menunggu keputusan SPM nya setelah meniggalkan SAMT KKB untuk menyambung pelajaran di Tingkatan 4 & 5 nya di MRSM KP. Yang tinggal di SAMT KKB adalah anak kedua saya Nur Farihin. Dan memandangkan beliau sudah berada di Tingkatan 5 dan tahun ini adalah tahun terakhirnya di SAMT KKB, maka isteri saya telah mengsyorkan agar kami menghadiri mesyuarat agong tahun ini tanda sokongan sebagai penutupnya.

YB Dato' Zainal Sukom bukan VIP yang merasmikan mesyuarat agong kali ini. Lagipun beliau bukan ADUN lagi setelah kalah pada PRU12. VIP yang dijemput untuk perasmian ialah Dato' Aman Shah Mohd Shahar, Dato' Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor, Orang Besar Daerah Hulu Selangor.

Setelah mendengar kata2 aluan dari pengerusi majlis dan bacaan doa, majlis diteruskan dengan ucapan dari YDP PIBG. Antara point yang dapat saya ingat ialah perihal SAMT KKB sebuah sekolah agama yang mendokong wawasan dunia dan akhirat untuk mendidik ilmuan yang punyai aqidah yang kukuh, pakar Hadis, Al-Qur'an dan Feqah. Kita mahukan professional dan pakar ekonomi, perubatan, jurutera, dsb. yang amanah, berintegriti, beriman, dan bertaqwa yang takut pada Allah. InsyaAllah.

Kemudian Puan Pengetua selaku penasihat PIBG menyampaikan ucapan. SAMT KKB ini rupanya sudah berumur 26 tahun dan merupakan antara dua sekolah agama yang ada di daerah Hulu Selangor ini selain dari SAM Selisik di sempadan Perak. Memandangkan jumlah penduduk yang semakin meningkat dan permintaan yang tinggi untuk kemasukan ke Tingkatan 1 di sekolah agama, maka Puan Pengetua mencadangkan agar pihak berwajib mempertimbangkan untuk menambah sebuah lagi sekolah agama kerajaan di Hulu Selangor ini. Ramai sudah graduan SAMT KKB yang sudah bergelar ulamak dan ilmuan di pelbagai bidang. Pada 2007, keputusan peperiksaan SMA telah menunjukkan peningkatan peratus kelulusan dari 76% kepada 80%. Manakala PMR pula meningkat dari 80% kepada 84%. Bagi pelajar yang mendapat keputusan Mumtaz & Jayyid Jiddan dalam SMA, akan berpeluang ke peringkat STAM selepas Tingkatan 5 nanti untuk mencerahkan peluang melanjutkan pelajaran ke Jordan, Mesir atau Morocco.

Seterusnya giliran Dato' Orang Besar untuk membuat ucapan perasmian. Beliau menyarankan agar Masjid, Masyarakat dan Sekolah tidak lagi di anggap sebagai tiga entiti yang berlainan, malah perlu di satukan demi kepentingan dan kemajuan umat. Anjakan paradigma perlu berlaku. Kalau di Sekolah St. Michael KL sesebuah program amal atau kutipan derma boleh menjana RM20k jumlah kutipan dalam masa sehari atau dua hari sahaja, kita lihat suasana ini jarang benar berlaku di sekolah2 agama. Berlawanan dengan anjuran agama kita yang sangat menggalakkan untuk amalan derma, waqaf dan sedekah. Seolah-olahnya orang bukan Islam itu lebih lagi menghayati amalan Islam dalam soalan bersedekah ini.

Satu tanggapan orang kita ialah untuk menderma dengan ikhlas kena derma sedikit, kalau derma banyak-banyak takut tak ikhlas. Budaya suka menerima dari memberi ini perlu diubah kepada suka memberi dari menerima. Jihad kita ialah untuk memajukan masyarakat kita dunia dan akhirat. Amalan menderma ke tabung masjid juga perlu diubah. Kalau setiap kita menggandakan wang sedekah kita, contohnya kalau selalunya memasukkan RM1 ke dalam tabung masjid pada setiap Jumaat, maka kita gandakan menjadi RM2 mulai hari ini. Maka sudah tentulah jumlah tabungan masjid juga akan berganda. Kalau dulu jumlah kutipan mingguan di Masjid KKB ialah RM800 maka mulai minggu ini ia akan bertambah menjadi RM1600 atau lebih. Impaknya sangat signifikan. Orang Islam wajib punyai strategi untuk memajukan masyarakat. Misalnya kerusakan kecil-kecilan di masjid atau di sekolah atau di kemudahan2 awam yang lain bolehlah ahli masyarakat mebiayainya sendiri untuk memperbaikinya. Usahlah mengharapkan bantuan kerajaan atau pihak lain setiap masa. Wujudkan budaya memberi.

Dalam mendidik anak2 juga perlu ada perancangan dan strategi. Kesilapan kita kadang tu ialah menyerahkan bulat2 kepada pihak sekolah. Kena bersungguh-sungguh mesti berjaya, insyaAllah. Apa peranan ibubapa? Kita kenalah disiplinkan anak2. Aturkan jadualnya. Diatur time belajar, beriadah, menonton TV, makan, sekolah, dsb. Time makan jangan tengok TV. Jangan buang masa. Kita pandai menyebut masa itu emas tapi realitinya berbeza kerana membiarkan anak2 melepak dan membuang masa begitu sahaja seolah-olah ia tiada nilai. Sekarang ini dunia penuh saingan jadi kena ada bimbingan untuk anak2.

Ibubapa mestilah mendidik dan membantu anak2 untuk berjaya. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Setiap kali anak2 kita menunjukkan peningkatan atau pencapaian yang membanggakan maka berilah pengiktirafan dan ganjaran sebagai meraikan anak kita. Contohnya seorang ibu berjanji untuk masak lauk 'special' jika anak dapat A dalam subjek Sains. Semoga kebanggaan anak kita apabila diiktiraf itu akan memotivasinya lagi untuk terus meningkat pencapaiannya di masa depan. Itulah antara intipati ucapan Dato' Aman Shah yang saya kira cukup baik untuk kita ambil pengajarannya.

Pada mesyuarat agong tahun lepas seramai 229 ibubapa telah menghadirinya dan pada tahun ini jumlah kehadiran juga cukup membanggakan. Ini menunjukkan keprihatinan ibubapa untuk berkerjasama dengan pihak sekolah demi kepentingan dan kemajuan pendidikan para pelajar, anak2 kita. Mesyuarat diteruskan dengan membentang dan mengesahkan minit mesyuarat dan penyata kewangan 2008. Seterusnya pembubaran AJK 2008 dan pemilihan AJK bagi sessi 2009. Semoga para AJK yang terpilih dapat merangka strategi yang lebih berkesan untuk menjana sebuah platform pendidikan bersepadu yang dapat memacu anak2 kita ke sebuah perjalanan di jalan yang lurus untuk melahirkan insan2 kamil yang berguna kepada masyarakat dan umat sejagat. Dan yang paling penting produk akhirnya ialah seorang profesional dan ilmuan yang diredhai Allah...... Amiin.

@@@

Sunday, February 15, 2009

Muntakhab Ahadith


Alhamdulillah sebuah kitab idaman telah menjadi milik saya hari ini. Malam tadi saya mendapat panggilan dari seorang jiran. Katanya "ana ada di Masjid Sri Petaling ni, kitab yang tuan cari hari tu ada, nak saya tolong belikan ke?". Saya tanya berapa harganya? "harganya RM30 tapi ana boleh dapat dengan harga RM25", jawabnya. "Ok belilah". Dan hari ini beliau telah menghantarnya ke rumah saya.

Kitab Muntakhab Ahadith ini mengandungi himpunan hadith-hadith pilihan berkenaan dengan sifat dakwah & tabligh:
  • Kalimah Tayyibah
  • Sembahyang Khusyu' Khudu'
  • Ilmu Dan Zikir
  • Ikramul Muslimin
  • Ikhlas Niat Yakni Membetulkan Niat
  • Dakwah Dan Tabligh

Penyusun kitab ini ialah Hadzrat Maulana Muhammad Yusuff Al-Kandahlawi manakala terjemahan ke Bahasa Melayu telah di buat oleh Abu Abil Hassan Ibn Musa dan Muhammad Sanadi Bin Hj Abu Bakar terbitan Klang Book Centre dengan cetakan pertama pada tahun 2004 diikuti dengan cetakan kedua pada tahun 2008.

Di dalam kitab ini menerangkan keutamaan (fadhilat) dan kepentingan Kalimah Tayyibah, Sembahyang, Ilmu dan Zikir, Ikramul Muslimin, Tashihun-niat, Dakwah dan Tabligh dan Meninggalkan Percakapan Sia-sia melalui hadith-hadith Nabi SAW. Jika kita berusaha diatas perkara-perkara itu maka mudahlah bagi kita mengamalkan keseluruhan agama. Perkara-perkara ini dijelaskan begitu ringkas dan padat supaya senang difaham dan mudah diamal.

Kitab inilah yang dibaca setiap lepas solat berjemaah fardu Maghrib dan Subuh di surau kami, surau Al-Faiizeen. Kitab ini sangat penting dan sangat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan utama dimajlis-majlis pengajian dan taklim di masjid-masjid, surau-surau, dan disetiap buah rumah bagi menyuburkan iman dan menimbulkan keghairahan dalam beramal. Kitab ini juga dapat membimbing manusia sebagai daie' keseluruh alam, fikir dan dan risau ummat, dan membentuk kehidupan seluruh manusia dan menjadikan negeri akhirat, masuk ke dalam syurga dan mendapat keredhaan Allah SWT sebagai matlamat hidupnya.

Saya petik sebuah hadith di m/s 27 - Dari Anas RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Tiga sifat, barangsiapa mempunyai sifat-sifat berikut akan merasai kemanisan iman:
  • Pertama, mereka yang mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari segala sesuatu
  • Kedua, tidak mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah SWT
  • Ketiga, seorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api. (H.R Bukhari)
InsyaAllah kerana gaya susunan yang simple dan keterangan hadith yang pendek dan padat memudahkan pemahaman dan mengundang untuk kita membacanya. Saya kira sangat sesuai untuk menjadi bahan tarbiah buat kita sekeluarga terutamanya selepas solat berjemaah kita minta anak2 untuk baca beberapa potong hadith untuk panduan bersama, secara bergilir2 termasuklah di baca oleh suami dan isteri juga.

Seorang sahabat saya memberitahu bahawa dia mengamalkan berkumpul dia, isteri dan empat anaknya setiap sebelum masuk tidur malam. Dan di beri giliran untuk membaca hadith dari kita Muntakhab Hadith ini. Katanya lagi kalau tidak dibuat begini maka mungkin ilmu hadith itu tidak berkembang. Maka dengan amalan itu dapatlah dia mentarbiah ilmu hadith ini pada ahli keluarganya.

Satu lagi saranan beliau ialah untuk menjadikan kitab ini sebagai hadiah bagi pengantin baru bagi menggantikan hadiah pinggan-mangkuk, wang ringgit, atau cenderahati lain selama ini. Semoga penerima hadiah ini akan memanafaatkannya suatu hari nanti dan secara tidak langsung kita yang menghadiahkan itu juga akan mendapat ganjaran pahala kerana mengembangkan ilmu yang bermanafaat. Ganjaran pahala itu akan berpanjangan walaupun kita sudah berada di alam kubur. Bukankah itu sesuatu yang baik?

@@@

Friday, February 13, 2009

Permulaan Kebangkitan Islam

Pada khutbah Jumaat lepas di Masjid Keramat AU2, khatib menceritakan betapa kalau kita perasan 1 Ramadhan lepas bersamaan dengan 1 Sept & 30 Ramadhan bersamaan 30 Sept. Dan ini sebenarnya hanya boleh berlaku setiap 33 tahun sekali, haribulan tahun hijrah jadi sama dengan tahun masihi. Dan katanya mengikut ulama setiap 33 tahun sekali ada perkara besar yang akan berlaku. Perkara besar itu ialah kebangkitan Islam menguasai dunia. Tahun ini adalah permulaan kepada kebangkitan Islam itu, yang kemuncaknya nanti adalah kemenangan Islam untuk menguasai kembali muka dunia ini.

Kalau di zaman keagungan Islam dulu, kita berjaya menguasai 3/4 dunia. Maka kali ini, InsyaAllah seluruh dunia akan tunduk kepada kekuasaan Islam. Justru khatib berpesan marilah kita bersama2 pihak yang benar dalam kebangkitan Islam ini. Kalau kita begitu bersemangat jihad menyokong pejuang2 Islam di Pelestin, maka mengapa tidak kita salurkan ruh yang sama menyokong pejuang2 Islam di tanahair kita ini. Bumi Palestin itu sebenarnya dijadikan kayu pengukur oleh Yahudi & Nasrani untuk melihat sejauh mana kekuatan Islam kerana mereka tahu benar bahawa akhirnya Islam akan menang dan menghancurkan mereka. Itulah ketakutan mereka pada kebangkitan Islam.

Kita tidak boleh bersendiri dalam perjuangan. Marilah kita berada dalam kelompok yang punyai visi Islamnya yang jelas dalam era kebangkitan Islam ini. Tiada pilihan lagi. Semoga kita semua mendapat hidayah Allah. Allah Hu Akbar!

Thursday, February 12, 2009

Emas Dalam Perak


Petikan ucapan dari MB Perak tempoh hari:

BismilahirRahmanirRahim. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.


Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.


Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.


Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.


Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.


Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.


UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.


Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar


Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :


Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.
Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?


Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.


Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat


Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.


Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.


Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.


Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.


Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.


Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.


Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.


Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak


Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.


Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

@@@

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...